Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius mengenai tohmahan yang mendakwa beberapa orang ahli parlimen DAP ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan oleh sesetengah pihak untuk mereka menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.
Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli parlimen berkenaan.
Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini.