Kenyataan Media

Paul Geoffrey Stadlen Lepaskan Wang Berjumlah RM 7.1 Juta, Mohd Hafarizam Dikompaun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Paul Geoffrey Stadlen dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] membabitkan wang berjumlah RM15 juta. 

Paul Geoffrey Stadlen telah bersetuju untuk melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 dan keseluruhan wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Perkara tersebut diputuskan setelah mengambilkira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucuthak. Sehubungan dengan itu, kes terhadap beliau ditarik balik.

Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613  berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Datuk Mohd Hafarizam setelah mengambilkira serta mempertimbangkan alasan-alasan yang munasabah termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Paul Geoffrey Stadlen. Pertuduhan terhadap Datuk Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan.

Sebelum ini, pertuduhan terhadap Paul Geoffrey Stadlen telah dibuat tanpa kehadirannya pada 20 Februari 2019 manakala Datuk Mohd Hafarizam dituduh pada 3 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

30 JULAI 2021


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |