Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melambangkan keprihatinan dan ketegasan Baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di Negeri Selangor yang terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Negeri Selangor.
Saya juga sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.
Justeru, SPRM turut menyeru orang ramai termasuk rakyat Negeri Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, supaya perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah.