SERAMAI tujuh ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.
Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Kesemua yang dilantik adalah terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan parti pembangkang.
Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.
Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan LPPR.
Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya.
Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR tersebut telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Hj Md Yasin sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.