Kenyataan Media

HARA 2020 Peringkat Kebangsaan : Tingkatkan Usaha Sama PBT Bersama SPRM

Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 peringkat kebangsaan yang diraikan hari ini menyasarkan penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha memerangi rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bertemakan ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’, SPRM berharap warga PBT melaporkan sebarang tawaran rasuah daripada mana-mana pihak bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

HARA 2020 peringkat kebangsaan merupakan program anjuran bersama SPRM dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) dengan penglibatan sebanyak 153 PBT di seluruh negara, menyusuli pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai sambutan HARA.

Bersempena dengan sambutan itu juga, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki telah menyampaikan amanat beliau tentang kepentingan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan HARA 2020 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.

Selain program walkabout yang dijalankan secara serentak di seluruh negara melibatkan PBT dan masyarakat umum, turut diadakan ialah sesi dialog antara SPRM dan PBT serta sesi menandatangani Janji Warga PBT bagi membuktikan komitmen setiap warga PBT dalam memerangi jenayah rasuah.

Di peringkat antarabangsa, tema yang ditetapkan oleh PBB ialah ‘United Against Corruption’, bagaimanapun, mengambil kira situasi pandemik COVID-19, tema khusus yang diperkenalkan tahun ini ialah ‘Recover with Integrity’.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

9 DISEMBER 2020

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |