Guan Eng didakwa minta rasuah 10 peratus
Lim Guan Eng, Bekas Menteri Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.