Berita Terkini

Perutusan Khas 100 Hari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

1. Terlebih dahulu izinkan saya menzahirkan rasa insaf dan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, nikmat dan kasih sayang kepada sekalian hambaNya. Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia.

2. Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Dengan rahmat Yang Maha Esa jua, maka hari ini genaplah 100 hari saya menjunjung amanah sebagai Ketua Pesuruhjaya sejak dilantik pada 9 Mac lalu.

3. Secara peribadi, sepanjang 36 tahun berkhidmat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saya telah melalui pelbagai suka duka bersama keluarga besar SPRM ini. SPRM mempunyai sejarah kecemerlangan dalam membanteras rasuah yang tersendiri sejak ditubuhkan pada 1 Oktober 1967. Kesinambungan kecermelangan ini harus diteruskan, bukan demi organisasi tercinta ini sahaja tetapi demi rakyat dan negara jua.

4. Kita tidak boleh leka dibuai mimpi dengan kecemelangan kita yang lalu, namun realitinya masyarakat masih menuntut SPRM menyelesaikan 1001 masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang masih berlaku di negara ini.

5. Di sebalik itu, tidak dinafikan kita juga pernah berdepan dengan kegagalan, tapi jadikan ia sebagai satu pengajaran yang tidak akan kita ulangi, sekali gus peluang kita memperbaiki kelemahan.

6. Ingin saya tegaskan, detik 100 hari seperti hari ini bukanlah sesuatu yang perlu saya raikan secara peribadi. Sebaliknya ia lebih kepada kebersamaan kita sebagi warga SPRM untuk berjuang membanteras rasuah dan seterusnya mengatur langkah untuk melihat apa yang harus kita laksanakan dalam tempoh mendatang demi rakyat dan negara.

7. Kita harus jadikan penanda waktu ini sebagai titik tolak untuk melangkah terus maju ke depan.

8. Seperti yang sering saya ingatkan, jalankanlah tugas secara kebersamaan, sepakat dan harmoni. Berkhidmat dan memikul amanah demi organisasi bukan kepentingan mana-mana individu waima kepada diri saya sendiri.

9. Sepanjang apa yang telah saya lalui selama ini, bukan sahaja dalam tempoh 100 hari ini, saya amat menghargai dan berterima kasih kepada semua warga SPRM yang sentiasa menyokong saya. Harapan saya agar semua pihak terus memberi kerjasama yang jitu ini.

10. Saya berjanji akan terus memikul amanah dan tanggungjawab ini berlandas misi dan visi SPRM.

11. Akhir sekali, marilah kita bersama-sama merapatkan saf dan memahat azam di sanubari dalam menjayakan agenda kita memerangi rasuah bagi mencipta kejayaan yang lebih manis dan besar lagi di tahun mendatang. Realisasikanlah wawasan SPRM untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian pencegahan rasuah di negara ini. Di samping itu, tidak lupa juga kita untuk sama-sama berdoa semoga segala usaha murni kita sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.

DATUK SERI HAJI AZAM BAKI
17 JUN 2020

Hit : 2171