Berita Terkini

Anggaplah Kerja Itu Amanah - Dato’ Junipah

PERLIS, 9 Julai – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) TKP (P&P), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato’ Junipah Wandi telah mengadakan lawatan kerja ke SPRM Negeri Perlis.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah SPRM Negeri Perlis, PKPj Suzeliyana Hashim di pejabatnya hari ini.

Majlis lawatan kerja ini merupakan peluang warga SPRM Negeri Perlis untuk beramah mesra bersama Dato’ Junipah yang baharu dilantik sebagai TKP (P&P) pada Januari lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Junipah telah menyampaikan beberapa amanat penting kepada pegawainya.

Beliau menegaskan warga SPRM Negeri Perlis perlu bersedia dengan tugas yang telah diberikan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab demi menjaga mutu kerja supaya terus cemerlang dalam kerjaya.

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa pihak Pengurusan Tertinggi sedang dalam usaha untuk mempertingkatkan kebajikan pegawai dan kakitangan SPRM bagi meringankan beban yang dihadapi.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan kompleks bangunan baharu SPRM Negeri Perlis yang terletak di Mukim Seriab, Perlis.

Turut meraikan lawatan berkenaan adalah Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Negeri Perlis, PPj Nor Azreen Zulkafli dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Perlis, PsK Mohamad Razif Abd. Rased.

 

Hit : 1972