Berita Terkini

SPRM Agensi Penguatkuasa Pertama Lancar PUBG Mobile i-Challenge

PUTRAJAYA, 11 Ogos - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki melancarkan SPRM Player Unknown Battle Ground Mobile (PUBGM) i-Challenge dalam usaha mendekati peminat sukan maya.

Program ini merupakan platform golongan e-community atau e-society secara sentuhan terus yang (direct approach) secara tidak langsung akan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan fungsi SPRM secara keseluruhan.

Rakan strategik untuk penyelarasan produksi dan teknikal program ini adalah Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia atau Malaysia E-Sport Federation (MESF) yang akan membantu pihak Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Negeri bagi melaksanakan program.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam berkata, SPRM adalah agensi penguatkuasa pertama yang mengambil pendekatan e-sport sebagai platform dalam menerapkan mesej antirasuah kepada masyarakat.

"E-Sport PUBG Mobile dipilih memandangkan permainan ini mempunyai pengikut yang ramai dan berjaya membentuk komuniti atas talian dengan bilangan yang besar di peringkat umur 12 hingga 60 tahun. Inilah peluang yang harus direbut oleh SPRM bagi menerapkan pendidikan antirasuah supaya mereka tidak terlibat dalam gejala ini.

"Pertandingan ini akan bermula dari 17 Ogos hingga 6 September 2020. Suntikan elemen antirasuah akan menjadi kandungan utama terutamanya daripada segi audio, visual, grafik dan video”,katanya.

Tambahnya, kandungan mesej antirasuah menjadi tontonan wajib semua peserta dan penonton bagi selang masa ke perlawanan seterusnya. Peserta juga boleh menjawab soalan-soalan kuiz bagi aktiviti berkaitan jenayah rasuah.

Pertandingan ini melibatkan penyertaan dari seluruh negara di mana aspek pencegahan dan pendidikan merupakan elemen penting dalam mencapai misi SPRM bagi mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Junipah Wandi; Presiden MESF, Dato' Ananth S. Nathan serta Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

 

 

Hit : 2323