Berita Pendidikan

Program Perkasa Wira Antirasuah (WAR) Bersama SK Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 24 Mei - Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang telah berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2023. Program ini merupakan program kolaboratif antara SPRM Terengganu, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (TI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Program ini merupakan salah satu Modul Pendidikan Antirasuah Sekolah Rendah yang dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Masyrakat SPRM. Modul ini disasarkan kepada murid sekolah rendah tahun 1 sehingga tahun 6 dalam usaha memperkasakan pendidikan integriti dan antirasuah.

 

Program yang diadakan ini adalah selaras dengan tuntutan inisiatif 2.4.6 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Anjakan 3: adalah untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai (value), anjakan ini sudah pastinya akan menjadi satu kejayaan apabila sistem pendidikan ini dapat melahirkan generasi membenci dan menjauhi rasuah.

 

Program WAR telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM dan dihadiri oleh Tuan Haji Muie bin Ngah, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun, KPKPj Hazrul Shazreen bin Abd Yazid, Pengarah SPRM Terengganu dan Encik Sabri bin Mansor, Pengarah RTM Terengganu.

 

Program WAR akan menjadi program yang pertama yang akan mendapatkan inisiatif potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 sekaligus akan dijadikan sebagai program penanda aras (benchmark).


Hit : 3126