Kolumnis@SPRM

JKA Pantau Salah Laku Warga SPRM

Datuk (Dr) Asariah Mior Shaharuddin

Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM

 

Setiap aduan  salah laku membabitkan warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) selaku unit integriti akan dipantau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM secara berkala setiap tiga bulan.

 

Ahli JKA membabitkan seramai lima orang yang dilantik akan mengadakan mesyuarat setiap empat kali setahun bagi menilai aduan yang diterima dan tindakan yang diambil oleh SPRM terhadap aduan tersebut.

 

Bagaimanapun, JKA bersedia pada bila-bila masa untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan sesuatu isu integriti dan kes salah laku yang memerlukan tindakan segera.

 

JKA adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas yang dilantik melalui Akta SPRM 2009 dan berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang dalam memantau pengendalian oleh Suruhanjaya ke atas aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai Suruhanjaya.

 

Sebagai langkah tambahan dalam memperkasakan integriti, SPRM telah menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman (CED) di bawah BCP pada Jun 2022 untuk menyiasat kes-kes jenayah rasuah pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

 

“SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang mempunyai integriti yang tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku.

 

“Sebagai pengerusi salah satu jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk memantau SPRM, saya berpendapat badan pencegah rasuah ini telah menjalankan peranannya bagi memupuk sifat integriti dan tatakelola yang baik dalam diri setiap anggotanya,” katanya.

 

SPRM telah mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 serta Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM disamping melaksanakan program-program pengukuhan integriti dalam kalangan warga kerjanya.

 

SPRM juga telah mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang merupakan satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

 

Terkini SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas dari dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja.

 

Justeru, bagi pengambilan pegawai-pegawai baharu SPRM, pihak Suruhanjaya  telah melaksanakan tapisan yang ketat termasuklah  ujian ‘urine test’ dan mengesan penipuan melalui ujian ‘poligraf’ bagi memastikan mereka yang benar-benar mempunyai potensi dan berintegriti dipilih untuk menyertai SPRM.

 

Selain itu, JKA juga bertanggungjawab untuk mengenalpasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan patut.

 

Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru melibatkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM.

 

Selain JKA, SPRM dipantau oleh 4 badan pemantau bebas dan merupakan agensi yang paling banyak dipantau oleh pihak luar berbanding agensi-agensi penguatkuasa yang lain.

 

Negara Hong Kong misalnya, melalui Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong yang hanya mempunyai tiga Badan Pemantau yang terdiri daripada: Jawatankuasa Penasihat (Advisory Committees), Jawatankuasa Aduan ICAC (ICAC Complaints Committee) dan pemantauan dalaman (Internal Monitoring).

 

Ahli-ahli badan pemantau bebas SPRM mewakili orang awam yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli politik (kerajaan dan pembangkang), golongan profesional dari kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam dan individu-individu yang disegani.

 

Sementara itu, bagi tempoh dari tahun 2020 sehingga 2022, SPRM telah mengambil tindakan tatatertib ke atas 23 pegawai yang didapati terlibat dalam kes salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti yang tidak sesuai dengan etika SPRM.

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 10 daripadanya dibuang kerja dan majoriti yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat di bawah tujuh tahun.

 

Walaupun jumlah yang dibuang kerja adalah kecil dan tidak membimbangkan, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

 

Sehubungan itu, pegawai-pegawai SPRM wajib membudayakan amalan integriti sepanjang memikul tugasan dan sentiasa bersiap sedia menghadapi elemen persekitaran kerja baharu yang mungkin berbeza daripada sebelumnya.

Dalam kata-kata yang lain, semua pegawai SPRM seharusnya menyedari, bahawa mereka sebagai individu dalam sebuah organisasi, tidak boleh sama sekali mengingkari prinsip-prinsip integriti.


Pelaksanaan pengukuhan integriti perlu diteruskan dan dijadikan sebagai program tahunan. Program tersebut perlu melibatkan di seluruh peringkat termasuk negeri dan cawangan.


Akhir sekali adalah menjadi harapan JKA dan masyarakat untuk SPRM dikenali kerana berjaya menegakkan elemen integriti dan nilai murni pada setiap pegawainya. Dalam masa yang sama haruslah juga cekap, berkemahiran tinggi dan profesional sepanjang menjalankan tugas. Tuntutan kepada tahap profesionalisme yang tinggi adalah satu kemestian terutama dalam persekitaran yang begitu mencabar sekarang.


Hit : 2071