Berita Menarik

Anggota polis mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Elfie Faizal Che Min, 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam, Taiping didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang peniaga yang menjalankan perniagaan barang lusuh dengan lesen telah tamat tempoh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat syarikat di Taman Perindustrian Pengkalan, Taiping, kira-kira jam 3.40 petang, 17 Mei 2017.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Sesyen 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM300 daripada peniaga sama, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Sesyen 24(1) Akta sama yang memperuntukan hukuman sama seperti pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Elfie Faizal didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM400 daripada peniaga sama, melalui seorang individu lain, untuk tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat lain kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan barang lusuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis yang sama, kira-kira jam 5.30 petang, pada 4 April 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Sesyen 24(1) akta sama, yang juga memperuntukkan hukuman sama seperti tuduhan pertama dan kedua, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 9 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Sumber : Astro Awani

Hit : 1493