Berita Menarik

Bekas setiausaha politik Idris Haron didakwa terima suapan lebih RM400,000

AYER KEROH: Bekas setiausaha politik kepada mantan Ketua Menteri Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 sebagai ‘upah’ projek pembinaan masjid, enam tahun lalu.

Tertuduh Datuk Rosli Hasan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 di Taman Pokok Mangga antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

Tertuduh turut didakwa atas 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

Kesemua suapan berkenaan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

Justeru, tertuduh yang sebelum ini merupakan setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Idris Haron didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain meminta tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 memandangkan tertuduh perlu menanggung dua isteri dan lapan anak dengan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan.

Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan rayuan pihak pembelaan serta cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei bagi untuk sebutan semula kes.

Sumber : Astro Awani


Hit : 1381