Berita Menarik

Rasuah RM500 luluskan beli buku kelas agama, moral

SHAH ALAM – Seorang bekas Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berdepan penjara sehingga 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan suapan bernilai RM500 bagi meluluskan permohonan kewangan membeli buku kelas agama dan moral, tiga tahun lalu.

Tertuduh, S. Murali, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Murali dituduh telah meminta dan menerima suapan sebanyak RM500 daripada seorang lelaki berusia 67 tahun yang merupakan pengerusi sebuah persatuan kebajikan sosial.

Wang tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh adalah sebagai dorongan untuk menyokong kelulusan permohonan bantuan kewangan untuk membeli buku kelas agama dan moral bagi pertubuhan kebajikan itu.

Perbuatan itu dibuat di cawangan sebuah bank di Jalan Dato Muda Jaffar, Hulu Selangor pada 7 September 2020 dengan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin manakala Tertuduh diwakili Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap awal bulan. Sebutan semula kes pada 10 Mei depan. – KOSMO! ONLINE


Hit : 1496