Berita Menarik

Terima rasuah RM7,000, pegawai penguat kuasa direman

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki bersubahat menerima wang rasuah berjumlah RM7, 000 bagi mengubahsuai laporan kimia berkaitan kes dadah.

Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif telah mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 15 April 2023 di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan lewat 30-an itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam di pejabat SPRM, Kedah.

“Pegawai itu ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan seorang anggota penguat kuasa yang ditahan reman Sabtu lalu kerana menerima wang rasuah berjumlah RM7,000 supaya kes terlibat diturunkan kepada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar mengesahkan penahanan reman tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Sumber : Kosmo


Hit : 1178