Berita Menarik

Azlan Man hadapi 5 tuduhan tuntutan palsu lebih RM1.18 juta

KANGAR - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi kemudahan Cuti Seberang Laut di London dari 2013 hingga 2017 dengan nilai keseluruhan RM1.18 juta.

Azlan, 65, membuat pengakuan berkenaan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Azlan didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan berjumlah RM230,230 menggunakan Invois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. no. DISRI-0612 bertarikh 11 Disember 2013 sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut.

Tuntutan itu adalah bagi kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London bagi tarikh 20 Disember 2013 sehingga 2 Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan sebutharga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan oleh Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. bertarikh 20 November 2014, Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) Tahun Kewangan 2014, No. Pesanan L140050002274 bertarikh 05/12/2014; dan Invois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. no. DISRI-1209 bertarikh 17 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Azlan dituduh mengemukan sebutharga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan oleh Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. bertarikh 26 November 2015; Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) Tahun Kewangan 2015, No. Pesanan L150050001551 bertarikh 09/12/2015; dan Invois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. no. DISRI000009246 bertarikh 21 Disember 2015.

Tuntutan itu adalah bagi penerbangan dan hotel penginapan ke London, United Kingdom bagi tarikh 18 hingga 29 Disember 2015 sejumlah RM241,295.40 sedangkan tidak ada perjalanan dilakukan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengemukakan sebutharga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan oleh Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. bertarikh 14 Disember 2016; Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) Tahun Kewangan 2016, No. Pesanan L160050001435 bertarikh 19/12/2016; dan Invois Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. no. KL5746 bertarikh 29 Disember 2016.

Tuntutan dibuat bagi kos tiket penerbangan dan hotel penginapan ke London, United Kingdom bagi tarikh 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 sejumlah RM253,195.40 tanpa melakukan perjalanan seperti yang dituntut.

Bagi pertuduhan kelima pula, Azlan dituduh melakukan kesalahan mengemukakan sebutharga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan oleh Aidil Travel & Tours Sdn Bhd bertarikh 8 November 2017; Pesanan Pembelian Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75-Pin. 1/2015) Tahun Kewangan 2017, No. Dokumen 17ASPT0300790 bertarikh 17/11/2017; dan Invoice Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. no. KL6213 bertarikh 30 November 2017.

Tuntutan adalah bagi kos bagi tiket penerbangan dan hotel penginapan ke London, United Kingdom bagi tarikh 23 hingga 30 November 2017 sejumlah RM244,079.30 sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut dilakukan.

Kesalahan bagi kesemua pertuduhan didakwa dilakukan antara Disember 2013 sehingga Disember 2017 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Kesemua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pengarah (2) Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib manakala Tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Sinar Harian


Hit : 1348