Berita Menarik

Tiga individu termasuk CEO perbadanan direman SPRM

PUTRAJAYA- Tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah perbadanan berkaitan kerajaan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000.

Difahamkan, rasuah itu bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja naik taraf sistem mekanikal dan elektrikal yang merupakan sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk menaik taraf bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 39 hingga 54 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan.

“Suspek pertama yang juga seorang CEO berusia 52 tahun itu dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui suspek kedua dan ketiga sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek kerja menaik taraf.

“Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman dan Majistret Irza Zulaikha mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 10 April 2023,” katanya tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE


Hit : 1488