Kolumnis@SPRM

PATI Lubuk Emas Penguat kuasa

Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia


Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.

Tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi “kosong” tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa.

Sungguh menyedihkan dan pahit untuk ditelan, namun inilah kejadian yang sering dihadapi oleh golongan warga asing. Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.

Slogan “Malaysia Boleh” dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian yang cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah. Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.

Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya. Komen yang biasa kita dengar “ia adalah kejadian terpencil” sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini.

Rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini. Antaranya termasuk dalam proses-proses seperti berikut:

1. Permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat. Bagi memperolehi kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk.

2. Peranan ejen-ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa dan permit kerja.

3. Merasuah penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terlibat dengan jenayah, disenaraihitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya.

4. Penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

5. Melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, macau scam yang kebanyakkan pekerjanya adalah terdiri daripada warga asing.

6. Memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen atau menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan.

7. Bekerja di sektor-sektor pembinaan, perladangan, perniagaan dan perkhidmatan secara tidak sah.

8. Mendapatkan kerakyatan dan sijil beranak dengan membayar rasuah.

9. Memandu tanpa lesen yang sah.

10. Tekong-tekong darat yang menyeludup pendatang tanpa izin masuk melalui lorong-lorong tikus seperti laut, hutan dan sempadan negara.

11. Meneroka tanah secara haram untuk tujuan penginapan dan pertanian.

12. Menjalankan aktiviti perlombongan secara haram.

13. Terlibat dalam penyeludupan barang-barang larangan termasuk dadah, senjatapi, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula dan minyak masak.

14. Rasuah jalanan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap.

15. Rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial dalam masyarakat.

16. Merompak kekayaan hasil laut dengan menceroboh lautan negara.

17. Bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut, pelacuran di pusat hiburan dan spa.

Ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket.

Isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh. Kesannya amat buruk kerana ia melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.

Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

Hit : 2912