Kolumnis@SPRM

Usah terpengaruh tohmahan SPRM lakukan dakwaan terpilih

Noor Mohamad Shakil Hameed

Timbalan Ketua Panel Pemikir, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)


Ketika ini pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara barisan penguat kuasa paling sibuk dan tidak menang tangan melaksanakan tugas serta amanah membanteras rasuah di seluruh negara.


Ia terbukti apabila meneliti peningkatan mendadak bilangan kes siasatan, tangkapan dan pendakwaan di mahkamah termasuk kes berprofil tinggi hingga SPRM dilemparkan pelbagai tuduhan seperti melakukan siasatan terpilih.


Bagaimanapun, tanggungjawab dan kepercayaan terhadap SPRM semakin bertambah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memasang tekad untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan meletakkan harapan sangat tinggi kepada agensi itu untuk menangani masalah ketirisan serta memperkasa aspek tata kelola dan tadbir urus dalam kalangan anggota masyarakat.


Kerajaan mahu SPRM mengambil tindakan tegas terhadap semua individu tanpa mengira kedudukan yang merompak harta negara, membazir dana awam serta merugikan rakyat dan negara.


Jadi tidak hairanlah apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan ada pegawai kanan mereka menerima mesej berbaur ugutan disebabkan SPRM bersikap tegas dan telus melakukan siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa yang diadukan berpaksikan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi itu.


Kita berbangga dengan sifat keberanian dan sikap profesionalisme dizahirkan pegawai serta anggota SPRM dalam membanteras rasuah dan membawa individu tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.


Umpama cacing kepanasan, sudah ada pihak mula memberi tekanan kepada SPRM, selain cuba menghalang siasatan dengan melemparkan tuduhan dan tohmahan tidak berasas seperti siasatan terpilih atau bermotif politik.


Hakikatnya, SPRM bertindak secara bebas dan tidak mengamalkan sebarang polisi siasatan terpilih, sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab agensi ini untuk menjalankan siasatan sekiranya ada maklumat atau aduan berunsur rasuah perlu diteliti, diberi perhatian dan seterusnya disiasat untuk menentukan kesahihan aduan diterima.


Usah biar ada unsur ugutan


Justeru, tatkala SPRM sedang menjalankan tugas, kita tidak boleh membiarkan adanya unsur ugutan mahupun tohmahan dilemparkan kepada mereka hingga boleh mengganggu proses siasatan mahupun menjejaskan semangat serta motivasi pegawai dan anggota terbabit.


Taktik pihak terdesak yang cuba mengaburi mata rakyat dengan meraih simpati atas alasan kononnya mereka menjadi mangsa siasatan terpilih perlu dihentikan segera.


Oleh itu, masyarakat perlu bijak menilai sikap profesionalisme SPRM dan tidak boleh terpengaruh dengan tohmahan. Kita perlu meneliti secara matang setiap kes disiasat kerana SPRM hanya bertindak berdasarkan aduan dan bukti.


Malah, sepatutnya kita memberi ruang kepada SPRM untuk menyiasat dengan bebas supaya dapat membongkar perkara sebenar. Di samping prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan dan dijatuhi hukuman, peluang ini juga sewajarnya digunakan individu disiasat membersihkan nama mereka daripada tuduhan jika benar tidak melakukan sebarang salah laku atau penyelewengan, bukannya menuduh SPRM melakukan siasatan terpilih.


Justeru, kita perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada SPRM sebagai suntikan motivasi untuk melaksanakan tugas mereka dengan bebas tanpa sebarang gangguan. Bukan mudah untuk membanteras rasuah apatah lagi jika sudah menjadi amalan lazim individu tidak bertanggungjawab dan sanggup merompak wang negara untuk kepentingan diri dan keluarga.


Dengan keazaman kuat Perdana Menteri dan kerajaan memperbaiki sistem tadbir urus secara menyeluruh, inilah masanya untuk seluruh masyarakat sama-sama berganding bahu dengan SPRM bagi membebaskan rakyat dan negara daripada najis rasuah.


Selain tidak mudah percaya tohmahan dilemparkan kepada SPRM, sebagai warganegara bertanggungjawab kita juga perlu menanam tekad untuk tidak memberi dan menerima rasuah serta tidak bersubahat dengan pelakunya.


Harus diingat sikap dan tindakan berdiam diri, tidak mengambil peduli serta tutup mata dan telinga walaupun sedar berlaku aktiviti rasuah dan penyelewengan di sekeliling, turut menyumbang musibah lebih serius. Semoga kerjasama erat antara SPRM dengan anggota masyarakat dapat membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara kita.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.   



Hit : 1203