Berita Menarik

Dibayar RM300 ‘lepaskan’ 1,050 PATI

PETALING JAYA: Betapa murahnya harga integriti pegawai penguat kuasa apabila boleh ‘dibeli’ dengan hanya RM300 oleh sindiket bagi melepaskan kira-kira 1,050 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina masuk ke negara ini.

Itulah nilai yang diterima lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Lancar kerana bersekongkol dengan satu sindiket penyeludupan migran di Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

KEISTIMEWAAN
Hasil siasatan SPRM mendapati, kesemua PATI itu mendapatkan ‘keistimewaan’ apabila mereka dibekalkan Mykad tulen milik warga tempatan sebelum melalui kaunter khas yang dijaga oleh pegawai Imigresen terlibat sebelum menaiki pesawat.

Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, selain itu, boarding pass atau pas masuk pemilik asal Mykad yang digunakan juga akan dicop terlebih dahulu oleh pegawai Imigresen terlibat.

Kata sumber itu, sindiket akan memperoleh Mykad tulen itu dengan cara ‘meminjam’ daripada warga tempatan terdiri orang kampung, saudara mara dan kenalan rapat yang terdesak menggunakan wang dengan bayaran RM200 sehingga 300 seorang.

“Kemudian, mereka akan guna Mykad berkenaan untuk membuat pembelian tiket penerbangan pesawat sebelum mereka akan menyamar sebagai rakyat Malaysia ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang di Sabah.

“Kesemua pegawai yang terdiri daripada kumpulan gred di bawah 22 itu akan ‘melepaskan’ pati-pati berkenaan meskipun wajah mereka langsung tidak sama dengan Mykad,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, sindiket akan menggunakan Mykad sama untuk membawa PATI yang berbeza keluar dan masuk menerusi dua lapangan terbang itu dalam tempoh sebulan.

“Tidak mustahil juga, mereka yang terlepas masuk ini juga antara warga asing yang terlibat dengan pelbagai aktiviti haram pelacuran, rumah urut dan lain-lain sehingga boleh mengganggu gugat keselamatan negara ini. Lebih membimbangkan, ada diantara PATI-PATI ini adalah mereka yang disenarai hitam sebagai pengganas,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, antara lima hingga 20 orang PATI di Sabah telah dilepaskan semasa pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat.

Kegiatan sejak 2018 itu terbongkar selepas sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa ditahan SPRM kelmarin kerana disyaki terlibat.

Penahanan kira-kira pukul 2.30 petang sehingga 8.40 malam itu membabitkan lima termasuk dua pegawai wanita berusia antara 30 hingga 41 tahun.

Operasi khas ‘Op Lancar” itu dijalankan SPRM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, SPRM telah merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad pengenalan Malaysia milik individu lain dan cop keluar Sabah yang lengkap dengan nombor siri. – UTUSAN


Hit : 1630