Berita Terkini

SPRM Lancar Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia

Putrajaya, 20 Mac – Bagi mencapai halatuju Sektor Pencegahan ke arah mencegah ketirisan dana kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengorak langkah awal dengan mendekati golongan belia dalam memerangi jenayah rasuah. Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia: Gerakan Antirasuah Anak Muda yang telah diadakan di Ibu Pejabat SPRM telah menarik lebih 40 orang belia dari pelbagai tempat/institusi.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyampaikan informasi berkaitan rasuah, mendidik golongan belia tentang risiko ketirisan dana dalam tatakelola sesebuah persatuan dan organisasi.

Program satu hari anjuran Bahagian Pendidikan Masyrakat (Penmas), SPRM dengan kerjasama strategik Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ini merupakan salah satu program pembukaan yang dirancang bagi tahun 2023 di seluruh Malaysia. PKPIM adalah antara pertubuhan belia berpengaruh yang dinaungi lebih 40 persatuan belia seluruh negara dan merupakan badan gabungan di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM).

Majlis pelancaran program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah  (Outreach) PenMas, SPRM, KPKPj Ab Muneim Ibrahim. Hadir sama Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli; Timbalan Presiden PKPIM, Muhamad Nazmi Abdul Rahim; Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik (CSBP) Bahagian Penmas SPRM, PKPj. Ramli Hassan.


Hit : 1749