Berita Menarik

SPRM menahan bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah.

KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Roy dan pegawai SPRM cuba memainkan peranan menyelesaikan kes dana Jana Wibawa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam menahan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah pula.

Suspek berusia 50-an itu disyaki cuba bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang sudah dituduh berkaitan projek itu.

Menurut sumber, lelaki itu dipercayai meminta suapan sebagai balasan seperti meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

"Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021.

"Suspek dipercayai ditahan kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, semalam," kata sumber, di sini hari.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin depan ke atas Datuk Roy, selepas pihak SPRM membuat permohonan.

Sebelum ini, Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini, pada jam 3 petang Isnin lalu.

Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy pada kelmarin, kemudiannya direman susulan kes membabitkan peruntukan Jana Wibawa sebelum ini, ditahan semula selepas dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.


Hit : 1527