Berita Menarik

Profesor ditahan SPRM 'songlap' RM30,000

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang Timbalan Pengarah sebuah universiti awam tempatan bergelar profesor hari ini.

Sumber berkata, penahanan dilakukan selepas suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan.

Menurutnya, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu yang juga Profesor bergred Jusa C ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Jelas sumber itu, dalam kejadian berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ujar beliau, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.


Hit : 1643