Berita Menarik

Isu rasuah di laut, Seorang lagi leftenan ditahan SPRM

Kuala Lumpur: Seorang lagi pegawai kanan agensi kerajaan berpangkat leftenan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner' sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan.

Kegiatan dilakukan suspek berusia 34 tahun itu dilakukan antara tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menurut sumber, suspek lelaki itu dipercayai bertugas sebagai pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

"Dia ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM, Kedah kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

"Penahanan suspek dalam operasi khas dikenali sebagai Op Tunda itu menjadikan jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam adalah seramai enam orang, " katanya.

Semalam SPRM menahan reman 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya lagi, suspek terbaru ditahan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini untuk permohonan reman.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 5 Mac 2023 terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009

Tangkapan dilakukan susulan pendedahan Harian Metro sejak Sabtu lalu berhubung kegiatan pengambilan rasuah membabitkan tiga agensi penguat kuasa kerajaan terutama di utara tanah air iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Perlis selain pulau peranginan Langkawi.

Berdasarkan siasatan, rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pemilik sangkar ternakan ikan yang melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki alat Pengesan Lokasi Individu (PLB), beroperasi tanpa permit atau lesen tamat tempoh, menggunakan pukat tunda, pukat harimau atau pukat buaya yang diharamkan.

Rasuah turut diberikan pemilik atau tekong bot nelayan yang melakukan kesalahan menangkap ikan di luar kawasan zon dibenarkan selain pemilik sangkar ternakan ikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja.

Pemberian rasuah membabitkan pemindahan wang ke akaun bank milik suspek, isteri ataupun proksi sejak tahun 2018.

Susulan pendedahan itu, SPRM bertindak melakukan siasatan menyeluruh dilakukan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM sebelum tangkapan dilakukan di seluruh negara kelmarin.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1563