Berita Menarik

Rasuah tengah laut

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu di Kedah dan Pulau Pinang termasuk sembilan penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner' sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan.

Ia membabitkan pemberian rasuah dan kesalahan dilakukan nelayan mengikut Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menurut sumber, dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda itu, 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara 9 pagi hingga 1 tengah hari, semalam.

Sumber berkata, dalam operasi di Kedah, SPRM menyita pelbagai jenis telefon pintar dan wang tunai bernilai kira-kira RM20,000.

Susulan itu 10 individu terbabit ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 4 Mac 2023 hadapan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah selepas pihak SPRM membuat permohonan itu pagi tadi.

Sementara itu, di Pulau Pinang, tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan membabitkan empat penjawat awam dan tiga orang awam kerana disyaki terbabit dalam kes yang sama.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 36 hingga 56 tahun itu ditahan di sekitar Pulau Pinang antara 9 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, seorang suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 4 Mac 2023 terhadap enam individu terbabit dikeluarkan Majistret Azlan Basri di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1471