Berita Menarik

Empat kakitangan MPPD didakwa minta, terima rasuah

SEREMBAN - Empat kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah antara tahun 2017 hingga 2020.

Tertuduh ialah pembantu kesihatan awam, Mohd Azmi Mohd Hashim, 41; penolong pegawai kesihatan persekitaran, Khairul Rizal Mahtar, 45; pembantu penguat kuasa, Azman Halidin, 55, dan pembantu kesihatan awam, Arfizi Mustaffa, 38.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan terhadap Mohd Azmi, dia sebagai pegawai badan awam telah meminta suapan wang tunai RM1,800 daripada seorang peniaga buah jambu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana berniaga tanpa mempunyai lesen pasar malam yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Februari 2020 di Pasar Malam Lukut, Port Dickson.

Azman yang kini telah pun bersara berdepan dua pertuduhan iaitu meminta suapan wang tunai RM400 dan RM300 daripada dua peniaga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana tidak memiliki lesen penjaja bergerak yang sah di Pasar Pagi Lukut, Port Dickson.

Kesalahan itu dilakukan pada pertengahan Oktober 2017 dan awal Ogos 2020, di Bahagian Penguatkuasaan Pejabat MPPD dan di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson.

Arfizi pula yang kini telah pun ditamatkan kontrak perkhidmatan turut berdepan dua pertuduhan sama iaitu menerima rasuah RM500 sebanyak dua kali daripada seorang peniaga sebagai dorongan tidak mengambil undang-undang terhadapnya yang berniaga tanpa lesen pasar malam yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 10 Mac 2020 dan 5 September 2020 di Maybank Cawangan Port Dickson di Persiaran Waterfront, Port Dickson.

Berikutan itu kesemua tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sementara itu Khairil Rizal pula didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 iaitu meminta suapan wang tunai RM1,000 daripada pemilik kedai cuci kereta sebagai dorongan untuknya mendapatkan sokongan daripada MPPD bagi mendapatkan lesen perniagaan.

Kesalahan itu dilakukan antara bulan Julai 2018 hingga November 2018 di Jalan Seremban, di dalam Daerah Port Dickson.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 terhadap Mohd Azmi dan Khairul Rizal manakala RM10,000 terhadap Azman dan Arfizi dengan syarat tambahan kesemua tertuduh perlu melapor diri sekali sebulan di pejabat SPRM Port Dickson.

Dalam pada itu peniaga pasar malam, Wong Lai Huat, 63 didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan RM150 daripada seorang peniaga pada Mei 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang tengah telah menerima bayaran daripada peniaga terbabit yang tidak mempunyai lesen sah untuk diserahkan kepada pegawai MPPD supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Kesalahan yang didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 itu dilakukan di Pasar Malam Lukut, Pekan Lukut, Port Dickson.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali.


Hit : 1555