Berita Menarik

Warga UK dalang scammer pelaburan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu sindiket penipuan pelaburan yang didalangi oleh warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Pulau Pinang pada Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Op Tropicana ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menurut Azam, 24 serbuan telah dilaksanakan termasuk tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat serta kediaman ahli sindiket.

"Serbuan dijalankan dengan kaedah risikan ‘imlntelligence base investigation’, financial investigation, covert operative, undercover dan beberapa kaedah siasatan digunakan.

"Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM," katanya pada Selasa.

Tambahnya, ahli-ahli sindiket ini terdiri daripada warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.

"Mereka dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdaya mereka untuk membuat pelaburan tidak wujud," katanya.

Azam berkata, modus operandi sindiket ini adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon.

Katanya, ahli sindiket akan menghubungi mangsa setelah mereka klik pada pautan untuk mendaftar dalam syarikat pelaburan serta memasukkan butiran peribadi.

"Mangsa-mangsa akan diyakinkan untuk melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

"Penjenayah scammer ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang. Bagaimanapun, ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion," ujarnya.

Kata Azam lagi, selain itu, sindiket itu juga dipercayai telah menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli sindiket dan memudahkan urusan sindiket menjalankan operasi di 'boiler room' (pusat panggilan) mereka di negara ini.

Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan tersebut mengesahkan seramai 11 orang individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut ditahan manakala seramai 70 orang ditahan oleh pihak imigresen.

"Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan dengan anggaran jumlah sebanyak RM11 juta.

"Permohonan reman terhadap semua individu akan dilaksanakan pada 22 Februari (Rabu)," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati seorang lelaki warga UK disyaki ahli sindiket bertindak nekad melompat melalui tingkap di tingkat 14 ke bumbung dan terjatuh ke tingkat 11.

Tindakan lelaki terbabit mengundang padah selepas dipercayai mengalami patah tangan dan kaki.

Sumber : Sinar Harian

Hit : 2496