Berita Menarik

Dua kakitangan Paip direman kemuka tuntutan palsu

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang ketua jabatan dan penolong operasi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu pembekalan makan minum dan peralatan kursus berjumlah RM5,940, Februari tahun lalu.

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan wanita 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang jam 8 malam pada Selasa.

Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk perintah reman pada Rabu.

Suspek direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Suspek lelaki yang bertugas sebagai ketua sebuah jabatan di Ibu Pejabat Paip di sini bersama penolong operasi didakwa berpakat memperakukan kerja-kerja menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus yang diadakan pada 24 hingga 25 Februari tahun lalu sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan berhubung tangkapan kedua-dua suspek tersebut.


Hit : 1271