Suami isteri ditahan SPRM kerana tuntutan palsu RM2 juta
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sepasang suami isteri kerana disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran komisen sebuah program merekrut pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta berjumlah hampir RM2 juta.
Sumber berkata, suspek lelaki yang juga bekas pengurus pemasaran universiti berkenaan, disyaki bersubahat dengan isterinya yang juga seorang suri rumah, untuk melakukan tuntutan palsu di antara 2015 hingga 2020.
"Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 11 pagi, manakala isterinya ditahan kira-kira 11.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, semalam.
"Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari 2023 dikeluarkan terhadap pasangan itu oleh Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan SPRM Mahkamah Putrajaya, hari ini," katanya.
Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan itu yang sedang disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian