Berita Menarik

Jana Wibawa: Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta

Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Wan Saiful, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Saya tidak mengaku bersalah, dan mohon dibicarakan," kata Wan Saiful.

Dalam pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.

Wan Saiful dituduh meminta suapan itu daripada individu bernama Lian Tian Chuan, di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022.

Mengikut pertuduhan kedua, Wan Saiful dituduh menerima suapan berjumlah RM6.92 juta menerusi akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd Bank CIMB cawangan Bukit Tungku, Taman Tunku di sini, 8 Julai 2022.

Wang berkenaan, dipindahkan dari akaun Maybank Islamic Berhad kepada akaun syarikat milik tertuduh dipercayai sebagai upah mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek Lebuhraya CSR bernilai RM223 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Azura membenarkan ikat jamin berjumlah RM400,000 dan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport dan melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: Februari 21, 2023 @ 10:10am

Sumber : Harian Metro

Hit : 1439