Berita Menarik

SPRM Bantu EPIC Berhad Ke Arah Tadbir Urus Komersial Bebas Rasuah

KEMAMAN, 15 Februari - Seramai 120 pegawai eksekutif dan ke atas EASTERN PACIFIC INDUSTRIAL CORPORATION BERHAD (EPIC)  telah menyertai program pemerkasaan nilai antirasuah  yang dianjurkan secara kolaboratif oleh EPIC Berhad  dengan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran budaya antirasuah dan amalan tadbir urus yang baik di auditorium Darul Iman Training Centre (DITC), di sini, semalam.

Pengurus Kanan,Kumpulan Audit Dalaman, Azman Bin Muda, berkata peningkatan kes rasuah,penyelewengan dan salahguna kuasa di kalangan individu korporat dan ahli perniagaan samada melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta dalam negara amat membimbangkan. Justeru itu,pengurusan tertinggi EPIC sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memantapkan tatacara kerja, tadbir urus dan memperkukuhkan imej bersih organisasinya dari sebarang salah laku rasuah.

Katanya juga kerjasama, bimbingan dan komitmen yang tinggi SPRM dalam membantu EPIC Berhad dari aspek pencegahan dan pendidikan secara tidak langsung membantu organisasi tersebut memperkukuhkan tadbir urus, nilai integriti dan tanggungjawab memerangi jenayah rasuah seterusnya meningkatkan keyakinan pemegang taruhnya terhadap organisasi tersebut.

EPIC Berhad ditubuhkan pada tahun 1981 merupakan syarikat berkaitan kerajaan milik sepenuhnya kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman. EPIC adalah merupakan penyedia perkhidmatan asas bagi industri minyak dan gas luar pesisir termasuk pengurusan pelabuhan,kejuruteraan marin dan perkhidmatan, kejuruteraan dan perkhidmatan penyelenggaraan. EPIC juga berfungsi dalam industri tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Dalam program ini, Ketua Cawangan Agensi Berkaitan Kerajaan dan Swasta (CABKeS) PenMas SPRM, PKPj Awang Samsul Baharam Bungso telah berkongsi ilmu tentang isu-isu semasa berkaitan rasuah dalam perolehan, penguatkuasaan, ketirisan Dana Awam dan kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang menekankan tentang Liabiliti Korporat.

Turut hadir pada program tersebut ialah Komander Hazlie Hazumi, Pengurus Integriti EPIC Berhad.

Hit : 1568