Berita Menarik

Tender hampir RM8juta; Pemilik, pengurus syarikat direman SPRM

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu selama tiga hari kerana disyaki mengemukakan dokumen penyata akaun bank syarikat palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembersihan bernilai RM7.97 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Sivil, di sini hari ini selepas Pegawai Penyiasat SPRM, Afiqa Liayana Rozman mengemukakan permohonan reman tersebut.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki bergelar Datuk berusia 64 tahun yang merupakan pemilik sebuah syarikat pembersihan serta seorang pengurus syarikat pembersihan berusia 74 tahun.

Kedua-dua suspek yang dari syarikat pembersihan berbeza itu dtahan semalam di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua mereka disyaki mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kerja-kerja tender perkhidmatan pembersihan am jalan bagi Zon Bertam, Seberang Perai Utara, bagi tempoh lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM7.97 juta daripada MBSP.

Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang. – UTUSAN


Hit : 1668