Berita Terkini

SPRM Berkolaborasi Bersama Persekutuan Kristian Malaysia Dalam Penganjuran Antirasuah

PETALINGJAYA, 9 Februari - Satu perjumpaan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) telah diadakan hari ini. Perjumpaan ini telah dihadiri oleh ahli gabungan CFM yang terdiri daripada Council of Churches dan National Evangelical Christian Fellowship (NECF).

Dalam perjumpaan pada kali ini, Ketua Seksyen Sosiobudaya, KPP Mohd Rizal bin Khalib telah menerangkan inisiatif antirasuah dalam bidang keagamaan dan isu pengurusan dana rumah ibadat kepada wakil persekutuan. Setiausaha Agung CFM, Tan Kong Beng mewakili ahli persekutuan juga berkongsi masalah-masalah berkaitan dengan kebenaran menggunakan kedai sebagai rumah ibadat yang seterusnya membuka ruang dan peluang rasuah kepada gereja dan pihak berkuasa tempatan.

Hasil daripada perjumpaan ini juga, CFM mencadangkan satu garis panduan atau amalan baik yang mengandungi FAQ dapat dihasilkan oleh SPRM serta bersetuju untuk mengadakan sesi dialog antirasuah bagi membincangkan amalan baik dalam pengurusan dana dan pengurusan gereja.

Hadir sama Setiausaha Agung CCM, Jonathan Jesudas; Setiausaha Agung NECF Pastor Samuel Ang dan beberapa ahli gabungan CFM. Manakala SPRM diwakili Ketua Seksyen Sosiobudaya, KPP Mohd Rizal bin Khalib serta beberapa pegawai dari Cawangan Sosiobudaya dan Politik (CSBP), PenMas SPRM.

Hit : 1918