Berita Menarik

SPRM Bantu Syarikat Deleum Bangkit Memerangi Rasuah Dalam Perniagaan

KEMAMAN, 8 Februari - Bangkit daripada pelbagai isu urustadbir yang menggugat syarikat, Deleum Berhad telah mendapatkan bantuan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan menjalinkan kerjasama strategik bagi memerangi budaya rasuah dan penyelewengan melalui aktiviti dan inisiatif pencegahan  rasuah.

Rentetan itu, satu Program Antirasuah telah dilaksanakan di Multi Purpose Hall,EPIC Kemaman Supply Based (KSB) Terengganu, semalam bagi mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan  warga pimpinan dan kakitangan syarikat tentang peri pentingnya budaya antirasuah dalam urustadbir syarikat.

Komitmen warga Deleum telah dizahirkan melalui lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum  Ramanrao bin Abdullah.

 

Deleum Berhad adalah merupakan sebuah syarikat perkhidmatan dalam insdustri gas dan minyak Malaysia dan kini telah disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Ramanrao dalam ucapannya menghargai dan berterima kasih kepada SPRM yang membantu syarikat bangkit dan memperkemaskan inisiatif pencegahan rasuah dalam urustadbir syarikat. Beliau juga menyatakan IBR perlu dilaksanakan sebagai satu ikrar atau janji komitmen daripada pengurusan tertinggi dan warga  Deleum Berhad keseluruhannya agar bangkit dengan penuh keazaman menjauhi dan membenci budaya rasuah. Ia merupakan mesej yang jelas daripada pihak pengurusan tertinggi Deleum  Berhad bagi memantapkan tatacara kerja, tadbir urus, dan memastikan imej Deleum Berhad sentiasa bersih dari sebarang salah laku rasuah.

Lafaz IBR tersebut telah disaksikan oleh Tuan AB Muneim bin Ibrahim,Timbalan Pengarah (Outreach) Bahagian Pendidikan Masyarakat.Turut hadir pada program ini, KPKPj Hazrul Shazreen bin Abd Yazid, Pengarah SPRM Terengganu.

Hit : 1650