Berita Menarik

Mahkamah: Pengarah syarikat pembinaan didakwa sogok pegawai polis

SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan sogokan rasuah kepada Inspektor polis supaya tidak mengambil tindakan kerana memiliki minyak subsidi tanpa lesen, minggu lalu.

Tertuduh, Keh Teck Chuan,53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Teck Chuan didakwa menawar RM50,000 dan memberi suapan RM50,550 kepada seorang lelaki yang merupakan pegawai kanan polis berusia 39 tahun yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Kedua-dua pertuduhan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada Teck Chuan atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 11 dan 11.10 malam pada 1 Februari lalu.

Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM50,000 keseluruhan bagi dua pertuduhan itu bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Peguam Regine Sin memohon jaminan dikurangkan antara RM30,000 hingga RM40,000 selain terpaksa menanggung kos rawatan ibunya berusia 88 tahun di hospital.

“Pasport anak guam saya pula hilang dan telah membuat laporan polis berkaitannya,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 bersama penjamin dan melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor.

“Sekiranya OKT (orang kena tuduh) membuat pasport baharu perlu menyerahkannya kepada mahkamah,” jelasnya sambil menetapkan sebutan semula pada 9 Mac depan.

Sumber : Kosmo


Hit : 1409