Berita Menarik

Tipu duit peneroka untuk melabur, bekas penyelia FELDA dipenjara dan denda

KUANTAN: Padah menggunakan RM150,793 wang peneroka untuk pelaburan tukaran mata wang asing tiga tahun lalu, seorang bekas penyelia FELDA dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000 hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain , selepas tertuduh, Muhammad Aizat Zaidi, 34, mengaku salah atas tuduhan pindaan dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai penyelia FELDA Sebertak di Bera, didakwa memalsukan sebahagian tandatangan peneroka pada dua senarai membabitkan akuan penerimaan bayaran tunai serta akuan penerimaan bayaran pendahuluan tunai.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara November 2020 dan Disember 2020 dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 464(a) Kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Peguambela mewakili tertuduh, Mazura Ismail dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum tanpa denda.

Ia mengambil kira anak guamnya yang mengaku insaf, malah sudah pun membuat bayaran ganti sebanyak 50 peratus daripada nilai keseluruhan wang kepada peneroka terbabit selain berhasrat membayar semua wang peneroka berkenaan.

Akibat kes berkenaan, Muhammad Aizat kehilangan pekerjaannya itu dan kini hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari serta perlu menanggung ibu dan bapanya yang sudah tua.

Mazura turut menyatakan anak guamnya juga telah bercerai dengan isteri disebabkan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam hujahnya berkata, tindakan tertuduh telah mencalarkan imej penjawat awam serta intergriti FELDA.

"Walaupun tertuduh ada usaha untuk membayar balik wang peneroka berkenaan namun mahkamah perlu mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan dilakukan itu, selain ia membabitkan peneroka yang kebanyakannya warga emas serta wang berkenaan adalah pendapatan untuk sara hidup mereka," katanya.

Sumber : Berita Harian

Hit : 752