Berita Menarik

Dua anggota Maritim Malaysia, nelayan direman enam hari

KANGAR – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis dan seorang nelayan direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung suapan pemerasan sebagai perlindungan nelayan di perairan negeri itu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali di Mahkamah Majistret Satu Kangar sehingga 8 Februari ini selepas kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah itu, pagi tadi.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua anggota Maritim Malaysia Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim gred T4 dan T5 ditahan selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan dilakukan suspek yang berusia lingkungan 40an.

“Siasatan awal kita mendapati suspek disyaki meminta suapan antara RM1,000 hingga RM3,000 daripada beberapa pemilik bot nelayan berkenaan sejak dua hingga ke tiga tahun, sebelum ini.

“Suspek orang awam itu pula, berkerja sebagai nelayan dan dipercayai menjadi orang tengah kepada dua anggota Maritim Malaysia terbabit untuk menerima suapan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM20,000 hingga RM30,000 setahun daripada seorang pemilik bot nelayan.

Terdahulu, suspek ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Kangar pada pukul 4 petang semalam selepas dibawa dari pejabatnya untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kita menganggarkan 10 lagi anggota dari agensi berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan kes ini tidak lama lagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Hit : 1480