Berita Menarik

Pegawai kesihatan mengaku terima suapan dipenjara sehari, denda RM10,000

BUTTERWORTH: Seorang pegawai kesihatan persekitaran dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,200 dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.

Tertuduh, Sumardi Yazid, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan sejurus dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam dekat sini.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Ang Chun Pun memohon hukuman ringan kerana sedang digantung tugas dan perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee bagaimanapun meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 yang mana jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.

Difahamkan tertuduh membayar denda itu hari ini. – UTUSAN


Hit : 1499