
Calon PRU15 antara didakwa serah dokumen palsu tuntut insentif Perkeso
KUALA LUMPUR: Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 50 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM2.4 juta.
Tertuduh termasuk calon parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 55, yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Di hadapan Hakim Rozina Ayob, pemilik dan juga pengarah Era Media Sdn. Bhd., Lee Hong Rong, 24, didakwa atas 31 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk memperdayakan Perkeso bagi menuntut Bantuan Mobiliti dan Gaji berjumlah RM1.87 juta.
Menurut pertuduhan, butiran palsu itu terkandung dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja yang dikemukakan kepada kakitangan Perkeso walhal senarai nama dalam dokumen itu tidak menerima bayaran berkenaan.
Di mahkamah sama, Mohd. Ridzuan yang juga pemilik Syarikat PUPA International Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM378,000.
Mohd. Ridzuan dan Hong Rong didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perkeso di Putrajaya pada 2 Mac 2021 dan 21 Jun 2021.
Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Raymond Sim, 35, yang merupakan pemilik syarikat Minbot Sdn. Bhd. dan Fireshot Marketing Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memberikan borang pengesahan melalui seorang wanita kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM153,200.
Raymond didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perkeso di ibu negara di antara 3 Jun 2021 dan 15 September 2021.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.