Berita Menarik

Program Penjana Kerjaya: Dua ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu

Kuantan: Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan membuat dua tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM43,600, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R. P. Mohd Ibrahim, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, mereka membuat tuntutan secara dalam talian bagi mendapatkan insentif pengambilan pekerja melalui Program Penjana 1.0 yang dilaksanakan kerajaan melalui PERKESO pada 5 dan 6 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan permohonan dengan butiran palsu yang mengandungi 17 senarai nama pekerja syarikat Is Catering Sdn Bhd bagi mendapatkan insentif berjumlah RM27,200 sedangkan individu terbabit tidak pernah memohon kerja di syarikat berkenaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama apabila sekali lagi memberikan 10 senarai nama dengan niat mendapatkan insentif berjumlah RM16,400.

Kedua mereka dituduh mengikut Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon kedua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Susulan itu, peguam Venugopal Narasiman yang mewakili Arabath dalam rayuannya memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan empat orang anak.

Sementara itu peguam R. Maran yang mewakili Mohmmed Ismail pula menyatakan anak guamnya mempunyai lima tanggungan termasuk ibunya yang uzur dengan pendapatan hanya RM3,000 sebulan.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 setiap seorang bagi kedua pertuduhan berkenaan selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan sebutan semula kes pada 27 Februari depan.


Hit : 1578