Kolumnis@SPRM

Ketirisan dan Penyelewengan Pengurusan Dana Serius

Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Nilai integriti dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

Kewujudan dana seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan sebagainya bertujuan membantu rakyat yang terkesan dek tekanan ekonomi sepanjang pandemik Covid-19 malah mampu meningkatkan kemahiran serta potensi diri.

Sebilangan rakyat terkesan dan terbeban dengan isu kehilangan pekerjaan, pengangguran, masalah perniagaan malahan ada sehingga terpaksa ditutup kerana keadaan ekonomi secara umumnya tidak berkembang seperti biasa.

Justeru, kerajaan memperkenalkan dana, pinjaman, moratorium, latihan kemahiran, bantuan kewangan khas dan sebagainya bertujuan untuk membantu rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Namun apa yang terjadi? Wujud segolongan individu, syarikat dan pertubuhan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan atas hak dan kesengsaraan rakyat yang terkesan.

Mereka ini secara terang-terangan mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan-tuntutan palsu bagi memperoleh dana-dana yang disediakan oleh kerajaan untuk kekayaan sendiri.

Inilah sikap buaya-buaya ekonomi di skala kecil dan sederhana. Nilai integriti semakin pudar dan tamak haloba menjadi budaya.

Kesannya, golongan pekerja dibuang, mahasiswa menganggur, peniaga-peniaga terpaksa menutup perniagaan yang sepatutnya menerima faedah serta bantuan, dipinggirkan begitu sahaja.

Inilah satu bentuk ketirisan yang harus diperbetulkan kerajaan. Tiada guna dasar yang cantik tetapi pelaksanaan yang gagal. Terlalu banyak kelemahan yang berlaku hingga mewujudkan ruang dan peluang penyelewengan. Antaranya ialah:

1. Kelemahan dalam proses semakan terhadap ketulenan maklumat yang dikemukakan pemohon (individu, syarikat, pertubuhan). Ini menyebabkan ada beberapa syarikat yang dimiliki orang sama membuat tuntutan.

2. Isu darurat (kecemasan) digunakan sebagai alasan untuk tidak membuat due diligence terhadap pemohon. Dikatakan jika terlalu tegar (rigid) akan dijadikan alasan karenah birokrasi.

3. Tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat. Agensi hanya bergantung kepada laporan program atau aktiviti yang dikemukakan pemohon sahaja.

4. Tiada peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula dana yang tidak dibelanjakan.

Agensi-agensi yang disalurkan dana ini pula harus sentiasa dipantau. Key Peformance Indicator (KPI) bukan terhadap berapa ramai yang telah menerima bantuan / dana atau berapa peratusan bantuan / dana (kewangan) yang telah disalurkan? Atau berapa program / aktiviti yang telah dibuat? Semua KPI ini hanya bersifat kuantiti semata-mata.

Yang harus dijadikan KPI ialah impak atau outcome kepada aktiviti / program tersebut. Maka, barulah hasrat mengurangkan pengangguran dan jumlah perniagaan yang bermasalah serta mengembangkan potensi dan kemahiran golongan pekerja dapat dicapai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat isu penyelewengan dan ketirisan dana / bantuan seumpama ini sebagai isu yang penting. Sebagai contoh, hasil kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian terlibat menerusi operasi khas sepanjang tahun 2022, seramai 133 individu yang terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat telah ditangkap. Lebih dari 100 syarikat telah disiasat melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta. Sehingga hari ini seramai 34 pemilik atau pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Tahun 2023 ini SPRM akan memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana ini termasuk dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan dan pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan.

Hit : 4599