Kes-kes Menarik

4 didakwa buat tuntutan palsu RM234,800

MELAKA: Empat individu termasuk dua beradik, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada PERKESO bagi menuntut insentif bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM234,800 antara Februari hingga Jun 2021.

Kesemua tertuduh, iaitu Mohamad Firdaus Fauzi, 28, dan adiknya, Muhammad Danish, 22; Muhammad Ammar Roslan, 31, dan warga emas, Lajis Majid, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing pada prosiding didengar Hakim Elesabet Paya Wan.

Mohamad Firdaus berdepan tiga pertuduhan, manakala tiga yang lain masing-masing satu pertuduhan, dan semua kesalahan didakwa dilakukan di Wisma PERKESO, Jalan Persekutuan MITC, Ayer Keroh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohamad Firdaus didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja, Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan FF Kudrat Enterprise bertarikh 26 Februari 2021 dan 17 Mei 2021 serta Hijrah Legacy Enterprise bertarikh 11 Mei 2021, melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan Pejabat PERKESO bagi menuntut insentif melalui program itu berjumlah RM93,800.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan PERKESO dengan dokumen pengesahan itu yang mengandungi pernyataan palsu 'Maklumat Pekerja Baharu', sedangkan senarai tujuh pekerja dinamakan bukan pekerja syarikat berkenaan.

Muhammad Danish, Muhammad Ammar dan Lajis pula masing-masing didakwa mengemukakan dokumen pengesahan itu yang mengandungi pernyataan palsu 'Nama Pekerja Baharu' atas nama perusahaan Dniez Enterprise bertarikh 29 Mei 2021, Ammarsaniah Enterprise (20 Mei 2021) dan LBM Niaga Enterprise (8 Mei 2021) dengan niat memperdaya PERKESO bagi menuntut insentif terbabit berjumlah RM36,400, RM48,700 dan RM55,900.

Mohamad Firdaus didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Februari, 17 Mei dan 4 Jun 2021, manakala tiga yang lain pada 3 Jun, 20 Mei dan 8 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat, manakala hanya Muhammad Ammar diwakili peguam, Hafizah Sani.

Terdahulu, Irwan Shah mencadangkan jaminan RM35,000 ke atas Mohamad Firdaus bagi tiga pertuduhan, manakala Muhammad Danish, Muhammad Ammar dan Lajis masing-masing RM10,000, RM20,000 dan RM25,000.

Selepas meneliti rayuan berkaitan jaminan, Elesabet membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM25,000, RM8,000, RM15,000 dan RM20,000, berserta seorang penjamin setiap orang.

Mahkamah juga memerintahkan setiap tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan, dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Hit : 156