Berita Menarik

Pengarah Bahagian bergelar Datuk antara tiga direman kes rasuah projek kementerian

PUTRAJAYA: Seorang pengarah bahagian di sebuah kementerian di sini, antara tiga ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan rasuah, hari ini.

Selain lelaki dengan gelaran Datuk itu, dua lagi yang ditahan membabitkan perunding projek dan pengarah syarikat binaan.

Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 40-an ditahan di sekitar Putrajaya antara jam 11 pagi hingga 9 malam semalam termasuk ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Sumber memaklumkan, mereka ditahan selepas disyaki menerima wang rasuah secara bulanan dengan jumlah besar daripada kontraktor yang mendapat projek di sebuah kementerian.

Wang rasuah itu adalah bayaran daripada kontraktor dilantik kementerian terbabit sebagai balasan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan, membantu meluluskan arahan perubahan kerja dan lanjutan tempoh masa projek.

Menurut sumber sama lagi, selain menerima suapan wang secara bulanan suspek juga mendapat sogokan seperti barangan mewah untuk kegunaan peribadi.

Terdahulu, permohonan reman tujuh hari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin ke atas lelaki bergelar Datuk itu, manakala dua lagi suspek direman tiga hari bermula hari ini selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan terbabit memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Hit : 1958