Berita Menarik

Tiga peniaga didakwa songlap insentif Program Penjana Kerjaya 2.0

MELAKA – Tiga peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM108,900 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fahmi Fikri Mohd Nor, 30, Kamaruddin Ab Kadir, 58, dan Darus Jidin@Mamat, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fahmi Fikri didakwa mengemukakan butiran palsu atas nama Perusahaan Arrizqi 46 Enterprise melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah RM38,700 di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso.

Kamaruddin turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja atas nama Perusahaan Syafi Muhjah TC melibatkan tuntuan berjumlah RM23,800.

Sementara itu, Darus yang juga pemilik syarikat DJ Warisan Enterprise turut berdepan dakwaan sama membabitkan jumlah RM46,400.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu dikesan dilakukan semua tertuduh di Pejabat Perkeso negeri Melaka antara 9 Mac 2021 hingga 29 Mei 2021.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap Mohd Fahmi Fikri dan Kamaruddin manakala RM15,000 terhadap Darus.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sekali dalam sebulan sehingga kes selesai.

Elesabet dalam penghakimannya kemudian membenarkan Mohd Fahmi Fikri, dan Kamaruddin masing-masing diikat jamin RM8,000 manakala Darus dengan jumlah RM10,000.

Mahkamah turut membenarkan kesemua syarat tambahan selain menetapkan 17 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette.


Hit : 1482