Berita Menarik

Tuntutan palsu projek ternak lembu, pengerusi koperasi pula direman

PETALING JAYA: Seorang pengerusi sebuah koperasi di Kedah direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran Projek Penternakan Lembu Tenusu di negeri ini melibatkan nilai RM20.3 juta, pada 2015.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada 3 petang semalam, berikutan maklumat terdapat beberapa syarikat dipercayai bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek berkenaan, pada 2015.

“Projek Penternakan Lembu Tenusu ini di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13) Economy Transformation Plan (ETP) yang bernilai RM20.3 juta…(tuntutan itu dibuat) kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sedangkan tiada pembekalan dibuat.

“RM20.3 juta ini merupakan nilai keseluruhan projek tersebut, manakala nilai keseluruhan tuntutan dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu masih dalam proses semakan dan siasatan lanjut lagi,” kata sumber itu memetik laporan Bernama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap, mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 11 Jan lalu, seorang pengarah sebuah syarikat berusia 51 tahun dan seorang pemilik sebuah lagi syarikat berumur 52 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes sama.


Hit : 1212