Berita Menarik

Kontraktor ditahan buat tuntutan palsu RM444,000

KUALA SELANGOR: Seorang kontraktor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung membuat tuntutan palsu kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di sebuah institut latihan awam di Selangor bernilai RM444,000.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, terdahulu suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan jam 8 malam tadi selepas hadir di Pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor.

Menurutnya, suspek yang menggunakan perniagaan sebuah syarikat mengemukakan tuntutan bayaran palsu kepada pihak institut latihan di negeri ini.

"Ini bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan bangunan dan pejabat serta menyelenggara landskap berjumlah RM444,000, sedangkan kerja itu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Suspek melakukan perbuatan terbabit antara September 2020 hingga April 2022 ketika menjadi kontraktor di institut berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Hit : 1452