Berita Menarik

Pemilik, pengarah syarikat direman kes tuntutan palsu RM20.3 juta

ALOR SETAR: Seorang pemilik dan pengarah syarikat direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM20.3 juta pada 2015.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan itu dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 51 dan 52 tahun dilihat tiba kira-kira jam 10 pagi menaiki dua kenderaan berasingan sebelum diiringi pegawai SPRM memasuki Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Semalam, lelaki berusia 51 tahun yang juga pengarah sebuah syarikat ditahan di Pejabat SPRM Kedah jam 1 tengah hari, manakala pemilik syarikat berusia 52 tahun ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam di Johor dua jam kemudian.

Menurut sumber, penahanan kedua-dua suspek susulan maklumat diterima SPRM mengatakan beberapa syarikat dikesan bersubahat dalam mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM20.3 juta pada 2015.

Difahamkan, tuntutan itu dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi bayaran insentif Projek Penternakan Lembu Tenusu di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13) Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), namun tiada bekalan didapati dibuat.

Ketika ini, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dilakukan dengan proses mengesan lebih ramai saksi dan bukti masih diteruskan pihak SPRM Kedah.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, namun enggan mengulas lanjut.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1155