Berita Menarik

3 termasuk suri rumah didakwa buat tuntutan palsu RM123,100

KUALA LUMPUR: Tiga lagi individu termasuk seorang suri rumah didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan hari ini, kerana mengemukakan dokumen palsu kepada PERKESO bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM123,100.

Bagaimanapun, suri rumah, Mazlina Ali, 45, bersama dua lagi tertuduh iaitu ejen insurans, Isa Mohd Ismail, 28, dan tukang gunting rambut, Mohamad Mohamed Amin, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim Azura Alwi, Rozina Ayob dan Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Mazlina dan Isa sebagai pemilik syarikat Isa Legacy masing-masing menerusi seorang lelaki memberi dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Aida Hani Enterprise serta Perusahaan Isa Legacy bertarikh 9 Mac dan 29 Jun 2021.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 PERKESO berjumlah RM54,600 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO Putrajaya, dengan niat memperdayakan yang mana dokumen mengandungi pernyataan palsu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

Kesalahan terbabit dilakukan di Wisma PERKESO di Jalan Tun Razak, Kampung Baru dan Menara PERKESO, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada tarikh sama dalam borang terbabit.

Dengan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Yasri Yahya, memohon Mazlina diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun, Mazlina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman minimum atas faktor muflis dan tiada pendapatan untuk menyara lima anak.

"Suami yang akan menjadi penjamin hanya bekerja sebagai pembantu jualan di pasar borong," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, pula meminta jaminan RM20,000 terhadap Mohd Isa dengan syarat sama.

Namun, peguam tertuduh, Lokman Zainal, memohon jaminan rendah kerana anak guam baru berkahwin dan perlu menyara ibu bapa, isteri serta dua adik ipar.

"Gaji tertuduh sebagai ejen insurans hanya berdasarkan komisen bulanan. Mohd Isa juga memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan," katanya.

Azura kemudian menetapkan jaminan RM5,000 masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan seperti diminta pendakwa raya dan pegawai terbabit.

"Saya tetapkan jaminan RM5,000 kerana RM2,000 terlalu rendah untuk kes di Mahkamah Sesyen. Sebutan kes seterusnya pada 14 Februari depan," katanya.

Di dua Mahkamah Sesyen lagi, Mohamad berdepan pertuduhan selaku pemilik syarikat Mikel Enterprise dan perniagaan Translimit Industries menerusi seorang lelaki memberi borang sama atas nama

Perusahaan Mikel Enterprise serta Perusahaan Translimit Industries bertarikh 25 Mac dan 29 Mei 2021.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 PERKESO berjumlah RM68,500 kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO Putrajaya, dengan niat memperdayakan yang mana dokumen mengandungi pernyataan palsu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

Dengan itu, mereka didakwa mengikut seksyen dan akta sama seperti dua lagi tertuduh, di wisma dan menara PERKESO terbabit pada tarikh sama borang itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias and Siti Amirah Muhammad Ali memohon Mohamad diikat jamin RM35,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan kerana di luar kemampuan dan tiada simpanan.

Rozina dan Suzana memutuskan jaminan RM12,000 dan sebutan kes seterusnya pada 22 Februari depan.

Sumber : Berita Harian


Hit : 840