Kolumnis@SPRM

Hukuman tegas tanpa pilih kasih 'ubat' atasi rasuah penjawat awam


Oleh
Jais Abd Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan tahun baharu di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini amat menarik kerana beliau menegaskan secara spesifik masalah rasuah terutama kecuaian pegawai agensi penguatkuasaan serta penjawat awam yang terus 'mengutip habuan' berbentuk hadiah besar.

Semua pihak mengakui masalah ini adalah isu sejagat dan memerlukan kerjasama teguh bagi membendung gejala rasuah bertambah parah. Rasuah tidak eksklusif kepada kelompok tertentu seperti ahli politik sahaja. Data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan penjawat awam antara paling ramai terbabit dengan salah laku rasuah.

Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengemukakan 10 cadangan untuk kerajaan memperkasa usaha pencegahan rasuah dan mendidik penjawat awam terutama pegawai di agensi penguatkuasaan supaya berintegriti melaksanakan tugas.

Pertama, kerajaan mesti memberi penekanan serius bagi menunjukkan rasuah mesti dipandang 'jijik'. MCW beberapa kali mendesak kerajaan mewartakan slogan khas negara, iaitu 'Rasuah Musuh Nombor 1 Negara' sebagai faktor pencegahan dan pendidikan berkesan.

Kedua, kerajaan disaran memenuhi permintaan SPRM supaya jumlah pegawai suruhanjaya ini ditambah segera bagi menangani jumlah kes semakin meningkat.

Langkah meletakkan pegawai SPRM di setiap agensi kritikal sama ada secara nyata atau under cover pasti membawa kesan besar. Penambahbaikan SPRM perlu disegerakan terutama pemberian kuasa autonomi dan diiktiraf sebagai badan perlembagaan sendiri di bawah Parlimen.

Ketiga, penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau hukuman dikenakan ke atas pelaku rasuah mestilah tiada kompromi. Undang undang sedia ada di Malaysia sudah cukup baik, namun menuntut ia dikuatkuasakan dengan ketat serta cepat.

Kehakiman mesti mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas setiap perasuah sebagai 'mesej keras antirasuah' kepada semua pihak.

Keempat, kerajaan mesti mendukung cadangan pakar menggandakan usaha memperkenalkan kaedah perisikan dan penyiasatan menggunakan teknologi lebih maju. Penggunaan kamera badan perlu dilaksanakan dengan segera, namun perlu disertai dengan kos efektif.

Ujian psikometrik penjawat awam perlu diperkemaskan selaras teknologi terkini bagi mengenal pasti golongan berisiko. Setiap pegawai kerajaan khususnya agensi penguat kuasa mesti diwajibkan menduduki ujian psikologi atau 'psikometrik' setiap tahun untuk menguji tahap integriti dan pemahaman berkenaan integriti.

Kelima, usaha mengembalikan penghayatan terhadap tugas penjawat awam adalah amanah kerana berkhidmat untuk rakyat perlu dijadikan sebagai fokus utama.

Sistem latihan penjawat awam di Malaysia perlu diperbaharui dan memperkasa. Program kesedaran kerohanian perlu dipertingkatkan dengan menerapkan nilai kejujuran dan keikhlasan serta amanah secara konsisten sebagai ciri unggul 'modal insan'.

Selain itu, usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan fokus kepada kebajikan penjawat awam dan anggota penguat kuasa pada semua peringkat bagi memastikan mereka dapat bertugas dengan selesa.

Bina budaya tadbir urus baik

Keenam, fokus kepada penggunaan pelbagai instrumen dan kaedah bersesuaian terkini ke arah membina budaya tadbir urus baik, berintegriti tinggi dan antirasuah.

Antara 'alat' dan sistem itu adalah Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS), Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), Profil Integriti Individu (IIP), Perkakasan Penilaian Integriti (IAT) dan Pembangunan Integriti Komuniti (CIB).

Ketujuh, kerajaan wajar mewujudkan satu undang-undang berkaitan salah laku pegawai awam. Jika undang-undang ini dikuatkuasakan maka sebarang kecuaian yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan akan jatuh dalam kategori jenayah, sekali gus membawa hukuman lebih berat.

Peraturan ketika ini mensabitkan kesalahan sebagai sekadar masalah 'tatatertib' sahaja. Hukuman tatatertib paling tinggi sekadar dibuang kerja daripada jawatan penjawat awam.

Jika tindakan mereka itu termasuk dalam kategori jenayah maka hukumannya adalah denda dan juga penjara, menyebabkan penjawat ini menjadi sangat berhati-hati dalam tugasan mereka.

Kelapan, kempen antirasuah membabitkan institusi keluarga penjawat awam terutama pegawai agensi penguatkuasaan perlu diwajibkan. Keluarga penjawat awam mesti mengambil tahu dan lebih mengambil berat ke atas pasangan masing-masing dalam memastikan budaya negatif pecah amanah dan hidup melampaui pendapatan tidak menular dan dapat dihidu dengan lebih awal.

Kesembilan, tutup semua ruang dan peluang melakukan rasuah. Kajian SPRM menunjukkan punca utama dipercayai menyebabkan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam kerana kecenderungan mereka untuk mempunyai gaya hidup di luar kemampuan sepatutnya, sikap tamak, wujud ruang dan peluang melakukan rasuah dan tahap integriti rendah.

Kesepuluh bagi memastikan rasuah dapat dibersihkan secara jangka panjang di negara ini, MCW mencadangkan lima pendekatan atau kaedah ini digunakan, iaitu subjek rasuah dimasukkan dalam silibus pelajaran bermula di sekolah rendah.

Ia termasuk memperkenalkan aplikasi permainan boleh menimbulkan kesedaran mengenai bahaya rasuah kepada generasi muda, menambah hukuman berat seperti hukuman sebat kepada pesalah rasuah.

Bagi setiap ketirisan dilakukan penjawat awam, mereka perlu menggantikan semula kerugian kerajaan serta fokus kepada semua bakal graduan di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan kesan dan bahaya rasuah.

Ironinya, usaha memerangi rasuah perlu membabitkan kerjasama semua pihak kerana ia tidak dapat dilaksanakan mana-mana individu atau organisasi secara solo.

Komitmen semua pihak amat penting terutama mengamalkan prinsip benci rasuah dengan membudayakan 'antirasuah bermula daripada anda' demi kelangsungan hidup aman bahagia tanpa rasuah.

Apa yang penting, kerajaan perlu tegas dan menggandakan usaha memerangi rasuah dalam semua aspek. Dua aspek utama perlu diberi perhatian bagi menangani rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Aspek pertama adalah langkah punitif atau hukuman tegas dilaksanakan tanpa gentar serta tanpa pilih kasih. Aspek kedua langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti.

Tegas dan tidak pilih kasih ialah dua kata kunci penting serta wajib dijadikan prinsip utama kerajaan serta petugas atau pemantau integriti di setiap jabatan.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM. 

Hit : 2406