Berita Menarik

4 dituduh tipu insentif Penjana Kerjaya 2.0 lebih RM500,000

KUALA LUMPUR: Empat individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Pada prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd, Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, manakala bekas Pengarah Lan Trading & Construction Con dan Percetakan Haz Sdn Bhd, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan.

Md Zaidi didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bertarikh 22 April 2021 melalui seorang wanita kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif berjumlah RM343,660 bawah program itu.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan PERKESO melalui dokumen mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja dinamakan itu bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Mohamed Hazzri yang berdepan dua pertuduhan pula didakwa memberikan borang pengesahan bertarikh 3 Jun dan 29 Jun 2021 melalui seorang lelaki kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM40,900 dengan niat sama.

Seterusnya di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohamed Hazzri dan pemilik syarikat Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberikan borang pengesahan bertarikh 6 Mac dan 29 Mei 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM110,800 dengan niat sama.

Pada prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi pula, pengurus syarikat Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah memberikan borang bertarikh 31 Julai 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif bawah program sama berjumlah RM9,100 dengan niat sama.

Md Zaidi serta Muhammad Asyraf didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di Putrajaya, manakala Mohamed Hazzri dan Nor Rizan di Pejabat PERKESO, Jalan Ampang di sini, antara 6 Mac hingga 13 September 2021.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozina membenarkan Md Zaidi dan Mohamed Hazzri masing-masing diikat jamin RM25,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang ke luar negara, selain melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali hingga pelupusan kes, serta menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan kes.

Suzana pula membenarkan Mohamed Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali hingga kes selesai, dan menetapkan sebutan kes pada 7 Februari depan.

Muhammad Asyraf dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama, dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, A Kalaivani dan Atiqah Alias, manakala Md Zaidi diwakili peguam, Azalea Nazihah Zulkefli; Nor Rizan diwakili peguam, Hasmah Nordin; manakala Mohamed Hazzri dan Muhammad Asyraf tiada diwakili peguam. – BERNAMA


Hit : 1838